Tuesday, January 3, 2012

~Akan Ku Pimpin Tanganmu~

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Allah itu amat la dekat, lebih dekat dengan urat leher manusia. Kerana Allah SWT itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya yang dalam kesusahan bahkan dikalangan hamba-hamba itulah yang semakin jauh dari Allah yakni tuhan yang Esa.

Adikku berumur 12 tahun pernah bertanya kepada aku, "adik tak da duit belanja, adik mintak kat emak tapi mak tak bagi, sedih macam ni..", kata adik. Aku sengaja menguji adik aku pada waktu itu dengan berkata, "minta la pada Allah, Allah kan berkuasa, sedangkan bumi yang luas ni Allah yang cipta, tak kan duit adik RM5 pun Allah tak boleh bagi, jawab aku. "macam mana Allah nak bagi, tak kan Allah nak turun dari langit lagi kot, apa la kakak ni."ujar adikku. "Allah bagi duit tu bukan turun dari langit, tapi mungkin Allah nak bagi mengikut keadaan yang kita sendiri tidak tahu, bila kita bersungguh-sungguh berdoa dan percaya, Allah pasti kabulkan, InsyaAllah, percaya la cakap kakak," jelas aku.

Esoknya, tidak disangka-sangka adik aku datang kepadaku dengan sukanya, "akak, mak baru bagi RM5 tadi, macam tak caye je kan.."kata adikku dengan seronoknya. "bersyukur la pada Allah dik, akhirnya Allah dengar doa adik tau."jawab aku.


Aku cuba dalam mengajar dan mendidik adik-adikku dengan kefahaman Islam walaupun mereka bukan belajar dalam bidang yang diceburi. Keluarga aku hanya lahir dari golongan biasa. Tiada siapa lagi yang mampu menegur adik-adikku melainkan aku sebagai kakak yang sulung. Setelah kematian abah, segala-segalanya telah berubah.

Dalam usaha bermujahadah melakukan segala amal kebaikan, juga mencegah daripada melakukan kemungkaran, prinsip muhasabah diri harus ada dalam diri, tatkala kita menegur orang lain dalam melakukan kebaikan, sedikit sebanyak dapat mengingati diri kita yang jahil untuk menjadi lebih baik daripada biasa. InsyaAllah.

Aku sedih apabila melihat adik aku sendiri yang paling aku sayang mula berubah. Adik yang kedua berumur 19 tahun, perubahannya lebih kepada mazmumah(keburukan). Aku sedih melihat adik perempuanku itu memakai baju dengan erti kata lain "tidak cukup kain". Pemakaiannya sendiri yang mencontohi gaya pemakaian orang-orang barat. Gaya rambut mengikut fesyen terkini. Lagu-lagu yang asyik sahaja dengan lagu Barat. Astagfirullah. Tiada daya dan upaya aku hanya kekuatan dariMu ya Allah. Telah ku cuba menasihatinya tapi tidak di endahkan kata-kataku. Sesungguhnya Allah sahaja yang berhak memegang hati-hati hambaNya dalam memperoleh hidayahNya. Allahuakhbar.



Adik aku adalah seorang yang baik. Aku percaya. Dia boleh berubah kerana Allah dan bukan untuk orang lain. Ini kerana keadaan dan pengaruh yang membuatkan dirinya berubah sedemikian rupa. Akak sayang kamu, percaya la adikku, akak sentiasa mendoakan mu, semoga dikau sentiasa terpelihara oleh Allah SWT. Tiada kakak yang akan membiarkan adiknya sendirian tanpa arah melainkan Allah SWT sahaja yang berhak memisahkan kita berdua.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata."(Riwayat al-Bukhari)

Allah tidak akan melihat hasil kita, tetapi Allah melihat seberapa banyak usaha kita dalam mengajak orang ke arah kebaikan. Putus asa tidak akan ku semat sedikit pun di dalam kamus hidupku. Kerana putus asa bukan sifat orang mukmin. InsyaAllah. Aku sayang adikku kerana Allah SWT kerana adikku adalah amanah dan tanggungjawab aku.

"What you give, you get back", itu la kata-kata dari seorang sahabat. Dalam erti kata, kebaikan akan dibalas kebaikan, manakala keburukan akan dibalas akibatnya nanti. InsyaAllah akanku pegang kata-katanya. Allah tidak pernah membebankan seorang hamba itu dengan bebanan yang berat melainkan dengan  daya upaya hamba itu sendiri.

Bagaimanakah cara lain lagi yang harus ku lakukan dalam terus membimbing adikku ke jalan yang benar?aku berfikir sejenak. Mungkin masih ada lagi seribu macam cara yang masih belum aku lakukan untuk menarik minat adikku itu ke arah Islam.

Ku rujuk Sirah-sirah Nabi zaman dahulu supaya dapat memberi aku kekuatan dan ilham dalam menghadapi situasi sebegini. Teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang berdakwah dengan ayahnya boleh dijadikan model. Nabi memulakan dakwah kepada ayahnya dengan berbincang konsep ketuhanan. -surah Maryam ayat 42-45. Setelah Nabi Ibrahim berusaha berdakwah kepada ayahnya, tetapi usahanya tidak berhasil malahan dakwah Nabi ditolak oleh ayahnya sendiri, baginda mengambil langkah yang positif iaitu berdoa.

Allah berfirman yang bermaksud: Nabi Ibrahim berkata: "Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta keampunan bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku."-surah Maryam 19:47.

Allahurabbi. Betapa hebatnya cabaran para Nabi zaman dahulu berbanding kita sebagai umatnya. Nasihat buat diriku dan untuk semua, jika keluarga yang masih belum beriman menyisih dan menjauhkan diri, sentiasalah berusaha mendekati, mendoakan dan berdakwah kepada mereka. Namun, jika kebencian mereka membahayakan diri, berhijrahlah kerana Allah dan Rasul. Betapa luasnya bumi Allah ini. Berhijrah daripada sebuah keluaga kecil kepada sebuah keluarga Muslim yang besar. Inilah persaudaraan yang diikat atas dasar iman kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:"Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, pasti mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka telah tetap baginya ganjaran di sisi Allah."(Surah al-Nisa' 4:100)

Wallahua'lam.












1 comment:

  1. sabar ye dik.. insyaAllah, dalam kita berusaha dengan teguran dan nasihat..jgn lupa berdoa. hidayah itu milik Allah.. akak doakan kita semua sentiasa dlm redha dan lindungan Allah swt..

    ReplyDelete